SKALA AMALAN INTEGRITI PENYERTAAN POLITIK: KESAHAN DAN PSIKOMETRIK

Authors

  • Mohd Sufiean Hassan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka 78000, Alor Gajah, Melaka
  • Siti Nurshahidah Sah Allam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka 78000, Alor Gajah, Melaka
  • Abd. Aziz A'zmi Pusat Asasi dan Pengajian Umum Kolej Universiti Islam Melaka 78200, Alor Gajah Melaka
  • Rizky Hafiz Chaniago Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris 35900 Tanjong Malim, Perak

Abstract

Integriti penyertaan politik merupakan amalan yang sepatutnya wujud dalam persekitaran demokrasi seperti Malaysia. Kajian empirikal integriti penyertaan politik kurang diberi perhatian pengkaji sains sosial dan kemanusiaan. Justeru itu, kajian ini fokus menilai skala psikometrik integriti penyertaan politik golongan muda. Bagi menguji nilai integriti, skala integriti penyertaan politik yang diadaptasi diuji ke atas 388 mahasiswa negeri Melaka dari empat Institusi Pengajian Tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia, Melaka, Universiti Multimedia, (MMU) Melaka dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) secara persampelan rawak mudah. Instrumen Skala Integriti Penyertaan Politik dibentuk daripada gabungan Skala Penggunaan Media Sosial dan Penyertaan Politik Dalam Talian dan Skala Integriti untuk menguji nilai integriti golongan muda melalui Analisis Faktor Pengesahan (CFA) dan pembentukan Model CFA Skala Integriti Penyertaan Politik. Dapatan menunjukkan model multidimensi skala integriti penyertaan politik telah mencapai ketepatan padanan yang baik dan mencapai kesahan konvergen berdasarkan hubungan yang signifikan pemboleh ubah. Skala ini turut mencapai kesahan diskriminan dan kesahan prediktif yang menyokong ciri-ciri psikometrik versi Bahasa Melayu. Kajian ini secara langsung menyumbang kepada pembentukan Skala integriti penyertaan politik yang kurang diberi perhatian oleh penyelidik sebelumnya.

Downloads

Published

2021-09-03