Kajian Awal Penyediaan dan Penilaian Krim Kosmeseutikal Antioksidan Berasaskan Minyak Pati Trigonella foenum-graecum

Authors

  • Bashobhini Suresh Kumar Biomedical Science Programme, Faculty of Health Sciences, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur, Malaysia.
  • Barathan Muttiah
  • Hemabarathy Bharatham
  • Nantha Kumar Jeyaprakasam
  • Kumutha Malar Vellasamy
  • Vanitha Mariappan Centre for Tissue Engineering and Regenerative Medicine, Faculty of Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia

Keywords:

Biji halba, formulasi krim, antioksidan, kosmetik, minyak pati

Abstract

Dunia kosmetik sekarang berubah fokus kepada produk penjagaan kulit yang menggunakan ekstrak semulajadi seperti biji halba. Tujuan kajian ini adalah untuk merumuskan krim kulit kosmeseutikal bersifat antioksidan dengan menggunakan minyak pati biji halba (Trigonella foenum-graecum) dan seterusnya menilai pelbagai ciri fisiokimianya termasuk ujian pemusnahan radikal bebas, penilaian organoleptik, pencirian fizikal, ujian kestabilan dan ujian biokeselamatan. Kepekatan minyak pati 300μL/mL menunjukkan aktiviti antioksidan yang paling tinggi secara signifikan pada 9.58% dan formulasi krim kulit dirumuskan menggunakan emulsi minyak dalam air dengan peratusan minyak pati yang berbeza (3%, 5% dan 10%). Ujian pemusnahan radikal juga dijalankan atas formulasi krim kepekatan minyak pati 3% dan ianya menunjukkan aktiviti antioksidan tertinggi yang signifikan (p<0.05) pada 87% serta mempamerkan sifat organoleptik yang memuaskan dengan pH 4.55. Ujian kestabilan semua formulasi telah dijalankan selama 90 hari dan hasilnya menunjukkan bahawa formulasi yang disimpan pada suhu bilik, mempamerkan nilai pH dan kebolehsebaran yang lebih baik berbanding formulasi yang disimpan pada 4°C. Formulasi krim juga diuji dengan ujian saringan biokeselamatan in vitro hemolisis yang menunjukkan ketiadaan perengsa dan bahan toksik dalam krim yang dirumuskan. Ujian sensitiviti kulit semua formulasi krim terhadap sukarelawan melaporkan tiada reaksi kulit. Hasil kajian menunjukkan minyak pati biji halba mempunyai sifat antioksidan yang tinggi dan boleh diformulasikan dalam bentuk krim kulit kosmeseutikal yang selamat. Walau bagaimanapun, ujian tambahan kosmeseutikal dan dermatologi diperlukan untuk penilaian lanjut manfaat krim yang dirumuskan.

Downloads

Published

2025-08-02

Issue

Section

Biomedical Science