FONOLOGI KATA PINJAMAN DARI BAHASA MELAYU DALAM BAHASA LANOH
Abstract
Kajian ini bertujuan menganalisis kata pinjaman dari bahasa Melayu (BM) dalam bahasa Lanoh, salah satu variasi kelompok Bahasa Asli Tengah. Tinjauan kosa ilmu mendapati bahawa bahasa Orang Asli lain dari kelompok Bahasa Asli Tengah, terutamanya bahasa Temiar sudah mempunyai deskripsi yang mendalam dari aspek fonologi kata pinjaman, tetapi tiada pada bahasa Lanoh, walaupun data dari kajian rintis menunjukkan bahasa Lanoh memiliki pola fonologi kata pinjaman yang agak bervariasi. Bertitik tolak dari permasalahan ini, sebanyak 450 patah kata Lanoh telah dikumpulkan dari Kampung Sungai Air Karah, Lenggong, Perak melalui teknik temubual berstruktur, dengan daftar kata Swadesh yang diperkembangkan. Hasil saringan pada set data tersebut mendapati bahawa terdapat sebanyak 51 patah kata pinjaman dari BM dan 3 patah kata yang bersamaan dengan bahasa di Borneo Barat. Kajian ini menggunakan rumusan Benjamin (2022) terhadap pola fonologi kata pinjaman BM dalam bahasa Temiar sebagai kerangka kajian. Hasil analisis mendapati bahawa bahasa Lanoh dan Temiar sesungguhnya menunjukkan banyak persamaan dari segi pola fonologi kata pinjaman. Namun demikian, sebagai variasi yang tersendiri, bahasa Lanoh memiliki pola peminjaman lain seperti rhotik direalisasi sebagai [y] pada posisi awal dan tengah kata manakala sebagai [-ʔ] pada akhir kata; BM /-t/ dan /-h/ direalisasikan sebagai [-ʔ]; berbagai realisasi pada vokal tertentu; BM /-l/ sebagai /-h/ jika status diftong (-ua-) berbentuk V; peleburan dan pemenggalan segmental; dan, pengekalan bunyi sekatan konsonantal nasal akhir. Hasil kajian ini mencerminkan kedominan BM dari segi memperkayakan kosa kata bahasa minoriti dan berjaya menambahkan korpus ilmiah pada bidang kajian bahasa Orang Asli.
Kata Kunci: bahasa Lanoh, bahasa Temiar, bahasa Melayu, Kata Pinjaman, Pola fonologi
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
ISSN: 0126-5008
eISSN: 0126-8694