Campurtangan kuasa-kuasa besar Eropah dalam konflik Bosnia-Herzegovina 1875-1878 telah menyebabkan kerajaan Turki Uthmaniah menandatangani Perjanjian Berlin 1878. Salah satu syarat Perjanjian Berlin adalah meletakkan pentadbiran Bosnia-Herzegovina di bawah mandat pemerintahan kerajaan Austria-Hungary. Bermula dari titik ini, memperlihatkan berlakunya proses migrasi di Bosnia-Herzegovina dalam kalangan penduduknya terutama orang Muslim. Artikel ini bertujuan mengupas isu-isu yang menyebabkan penghijrahan orang Muslim dari Bosnia-Herzegovina ke wilayah-wilayah lain dalam empayar Turki Uthmaniah sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama. Analisis data primer digunakan ke atas rekod-rekod British daripada kedutaannya di Bosnia-Herzegovina. Hasil kajian mendapati isu agama merupakan faktor utama dalam proses migrasi yang berlaku di Bosnia-Herzegovina. Proses migrasi semakin meningkat selepas Bosnia-Herzegovina diumumkan secara rasmi di bawah pentadbiran Austria-Hungary pada 1908.