Tahap Kefungsian Aktiviti Kehidupan Harian Asas dan Kualiti Hidup Warga Tua Penghidap Diabetes

DZALANI HARUN, NURUL HUSNA BAHARIN, NOR AFIFI RAZAOB, NOOR IBRAHIM MOHAMED SAKIAN, NOR FARAH MOHD FAUZI, NURULJANNAH JOHARI

Abstract


Diabetes merupakan penyakit kronik yang sering dikaitkan dengan aktiviti kehidupan harian asas yang terjejas, terutamanya dalam kalangan warga tua. Kemasukan ke wad bagi tujuan mendapatkan rawatan menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kemerosotan tahap kefungsian aktiviti kehidupan harian sehingga menjejaskan kualiti hidup warga tua selepas discaj. Oleh itu, kajian in bertujuan untuk mengenalpasti tahap kefungsian melakukan aktiviti kehidupan harian asas, hubungan dengan kualiti hidup serta faktor yang mempengaruhi kualiti hidup di kalangan warga tua penghidap diabetes dalam wad. Kajian keratan rentas dilakukan ke atas 104 orang warga tua penghidap diabetes (min umur: 67.5 ± 9.2 tahun) yang sedang menerima rawatan pesakit dalam wad. Soal selidik bersemuka dijalankan dengan menggunakan instrumen Modified Barthel Index (MBI) untuk menilai tahap kefungsian aktiviti kehidupan harian asas manakala instrumen World Health Organization Quality of Life – BREF (WHOQOL-BREF) digunakan untuk menilai kualiti hidup. Hasil kajian mendapati hanya 37.5% (n = 39) responden dikategorikan pada tahap berdikari sepenuhnya. Domain menaiki tangga diikuti dengan ambulasi mencatatkan skor terendah berbanding dengan domain aktiviti kehidupan harian asas lain. Domain fizikal dalam penilaian kualiti hidup mencatatkan skor terendah berbanding domain lain. Terdapat korelasi positif yang signifikan (p < 0.05) di antara skor keseluruhan MBI dengan kesemua domain kualiti hidup; fizikal (rs = 0.70), psikologikal (rs = 0.50), sosial (rs = 0.33) and persekitaran (rs = 0.25). Analisis regresi berganda herarki menunjukkan skor MBI mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas kesemua domain kualiti hidup, dengan pengaruh yang terbesar dalam domain fizikal iatu sebanyak 36.0% [F(1, 92) = 82.14, p < 0.01, R2 = 0.36]. Secara kesimpulan, kemasukan ke wad menjejaskan tahap keberdikarian dalam melakukan aktiviti harian asas serta aspek fizikal dalam kualiti hidup pesakit diabetes warga tua. Oleh itu, adalah penting bagi menyediakan rehabilitasi dalam perlaksanaan aktiviti kehidupan harian asas bagi warga tua sambil menjalani rawatan dalam wad bagi mengekalkan kualiti hidup selepas discaj.

 

DOI : http://dx.doi.org./10.17576/JSKM-2018-26


Keywords


Aktiviti kehidupan harian asas; kualiti hidup; warga tua; diabetes; kefungsian

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


Please contact the Chief Editor for any inquiries about the journal. For any technical difficulties please contact our technical support.

 

eISSN : 2289-4535

ISSN : 1675-8161